23.10.15
Assalamualaikum w.b.t
Jumaat, 9.00 p.m. Hari ini merupakan
hari yang kami nantikan untuk lakukan interview bersama responden yang kami
pilih. Kami mengambil tarikh dan masa ini disebabkan menghormati jadual kakak
responden tersebut yang mempunyai jadual agak padat disebabkan statusnya
sebagai seorang pelajar Universiti sama seperti kami. Interview kami dijalankan
pada waktu malam dan bertempat di Gazebo Blok 4, Kolej Jasmine, Puncak Perdana
berikutan responden kami hanyalah seorang kakak senior di sini. Semua maklumat
yang kami dapat hasil daripada interview dengan Vivian sendiri.
Soalan
interview kami mulakan dengan bertanya mengenai latar belakang kakak tesebut.
Namanya Vivian anak Gramong, berumur 22 tahun, student Part 5 di UiTM Puncak
Perdana dan merupakan pelajar jurusan Pengurusan Rekod sama seperti kami JJ. Vivian berasal dari Sarikei, Sarawak,
merupakan kaum Iban dan beragama Kristian Arsi (Roman Katolik). Vivian
merupakan anak ke-2 daripada tiga orang adik beradik.
Soalan kami berdasarkan soalan-soalan
budaya material (kebendaan). Pertamanya kami tanya mengenai makanan tradisi
bagi orang Sarawak .Antara makanan tradisi yang popular seperti umai yang ada
banyak di Mukah yang berlauk udang @ isi ikan, ayam pangso @ ayam masak dalam
buluh, mee kolok, laksa Sarawak dan banyak lagi. Bagi kuih tradisional yang
biasa dimakan atau buat pula ialah kek lapis Sarawak, apam, roti jala manis
yang digoreng, kuih deram @ kuih telinga keling, dodol yang gunakan daun dan
muruku.
Makanan
tradisional bagi etnik Sarawak
Selain
itu, bagi pakaian tradisional pula, bagi masyarakat Iban pakaian tersebut boleh
dipakai oleh lelaki dan perempuan. Bagi pakaian perempuan, aksesorinya lengkap
dari atas kepala hingga ke kaki. Menurut Vivian lagi, kini semua orang sudah
mampu untuk membeli satu set pakaian tradisional tersebut dan kebanyakkannya
ada mempunyai pakaian kecuali bagi yang kurang mampu untuk membelinya secara
satu set boleh membelinya satu-satu dahulu kerana harganya yang agak mahal.
Tetapi kebanyakannya sekarang sudah ada set yang tiruan dan berbeza dengan yang
asli yang menggunakan besi dan set-set tersebut memang berat. Yang tiruan
kebiasaanya dibuat daripada aluminium dan agak berkilat tetapi harganya tetap
mahal seperti biasa. Kebiasaannya dipakai pada waktu perayaan, majlis perkahwinan
dan juga kadang kala dipakai ketika majlis sambut menteri di tempat mereka.
Pakaian tradisional wanita Iban
Pakaian tradisional lelaki Iban
Bagi pakaian semasa kematian pula
adalah sepeti baju biasa tetapi perlu berwarna gelap sebagai simbolik
menghormati si mati dan keluarga.
Antara alat-alat tradisional yang
digunakan oleh masyarakat Iban dan antaranya yang digunakan sewaktu berperang
ada banyak seperti sangkuh (lembing) yang terdapat beberapa jenis mata lembing,
sumpit yang ada racun, serampang tiga mata untuk berburu, dan juga parang yang
terdapat beberapa bilah mata.
Bilah-Bilah mata yang ada
Bagi alat musik pula, antara yang
Vivian tahu adalah seperti Tawak (gong) dibuat dari perunggu berbentuk bulat, Engkromong ialah gong kecil diperbuat daripada perenggu berbentuk periok dan merupakan
lapan buah gong bagi satu set diatur berbaris di atas para yang panjang, Bebendai ialah gong kecil yang tergantung dan berbentuk bulat
serta membukit di tengah dan juga Ketebung iaitu drum yang boleh diketuk dari
satu sudut sahaja dan diperbuat daripada bahan semulajadi dan yang terakhir
ialah Sape yang berbentuk seperti gambus panjang bertali empat, badannya
panjang dan berbentuk hampir empat segi. Antara gambar-gambar yang disediakan
adalah seperti di bawah.
Alat-alat musik bangsa Sawarak
Soalan seterusnya lebih kepada
soalan-soalan budaya non-material (bukan kebendaan). Menurut Vivian, terdapat
banyak bangsa yang ada di Sarawak dan antara yang dia tahu ialah Iban, Melayu,
Cina, India, Muru, Kadazan, Bidayuh, Ulu, Punan, Penan, Belagau, Selaku dan
banyak lagi dan Vivian merupakan bangsa Iban.
Seterusnya, antara perayaan yang
disambut ialah Hari Gawai, Kristmas, Tahun Baru Cina dan pelbagai dan mereka
akan menyambut semua jenis perayaaan tetapi bagi Vivian yang beragama Kristian,
dia hanya menyambut perayaan Hari Gawai, Kristmas dan kadang kala menyambut
Tahun Baru Cina kerana Vivian tinggal di rumah panjang yang juga terdapat
penghuni rumah panjang yang berbangsa Cina.
Menurut Vivian antara tarian yang ada
di Sarawak dan tidak kira bangsa ialah seperti tarian Ngajat, Sumazau, Joget
Inang, Opera Cina, Tarian Naga dan banyak lagi. Bagi Vivian yang berbangsa
Iban, dia akan melakukan tarian Ngajat yang ditarikan semasa pesta menuai di
Sarawak sebagai persembahan yang menujukkan kegembiraan meraikan pesta menuai tersebut
dan meraikan tetamu yang datang dan pada Hari Gawai.
Terdapat banyak pantang larang yang
diamalkan seperti tidak boleh memotong kuku pada waktu malam, makan mesti dalam
keadaan bersila, masuk rumah jiran buka selipar walaupun dalam satu rumah
panjang.
Selain itu, kepercayaan lain bagi
bangsa Iban adalah seperti pada waktu mereka ingin membenih atau menabur benih
di sawah, mereka percaya perlu melumur tangan mereka dengan rumput dan tanah
yang ada di bendang untuk dijadikan sawah tersebut tetapi perlu dilakukan pada
malam sebelum menabur benih. Mereka percaya dengan berbuat demikian, tanaman
mereka tidak akan diganggu serangga, tidak dilanda musibah dan akan mengeluarkan
hasil tanaman yang banyak. Seterusnya, mereka percaya terdapat burung tertentu
yang jika ia berbunyi akan memberikan petanda kepada mereka seperti jika ingin
keluar atau berpindah rumah jika terdapat burung berbunyi bermakna ada petanda
yang tidak baik akan berlaku dan mereka akan duduk sahaja di rumah.
Bagi bentuk seni bina yang popular bagi
masyarakat Iban ialah rumah panjang dimana beberapa keluarga akan duduk di satu
panjang yang sama dan mereka adalah dari keluarga atau saudara-mara yang dari
keturunan yang sama sahaja akan mendiami rumah panjang tersebut. Tetapi menurut
Vivian, rumah panjang sekarang tidak seperti rumah panjang dahulu dimana kerana
sekarang sesiapa sahaja yang ingin membuat rumah di rumah panjang boleh duduk
bersama walaupun tidak bersaudara tetapi perlu memberitahu tuoi rumah dahulu
ataupun ketua rumah. Kini, penghuni rumah panjang berbeza dengan dahulu yang
sangat mengutamakan puak-puak tersendiri. Rumah panjang zaman ini sudah
menggunakan simen bagi memisahkan satu rumah dengan satu rumah yang lain tetapi
tetap bersambung berbeza dengan dahulu yang hanya gunakan kayu-kayu sahaja
sebagai dinding rumah. Sekarang rumah dipisahkan dengan dinding simen tetapi
reka bentuk dalam rumah sama sahaja seperti rumah biasa. Rumah panjang ini juga
tiada had rumah yang boleh bercantum.
Rumah panjang bagi masyarakat Iban
Soalan seterusnya beralih pula kepada
permainan tradisional etnik Sarawak dan bagi Vivian yang berbangsa Iban, dia
mengatakan kebanyakkan permainan tradisional mereka sama sahaja seperti kita
masyarakat Melayu seperti layang-layang, ting-ting, congkak, gasing dan
sebagainya.
Bagi majlis perkahwinan pula, tidak
kisah jika dilakukan secara besar-besaran atau kecil-kecilan tetapi mereka
perlu ada saksi iaitu terdiri daripada penghulu, tuoi rumah @ dikenali sebagai
tuan rumah panjang, ibu bapa pengantin lelaki dan perempuan. Bagi orang Iban
yang ada agama, mereka perlu membuat VOW @ lebih dikenali sebagai sumpah kawin
antara pengantin di gereja atau bagi masyarakat Melayu dipanggil sebagai akad
nikah. Adat perkahwinan dimulakan dengan adat merisik dengan cara lelaki akan
membawa ibubapanya berjumpa dengan pihak perempuan walaupun kedua belah pihak
sudah tahu yang anak mereka sama-sama bercinta, tetapi adat merisik tetap
dijalankan. Semasa merisik juga perlu ada tuoi rumah supaya tuoi yang akan
memberikan tarikh @ berapa lama tempoh yang pengantin perlu tunggu sebelum
menjalankan majlis perkahwinan dan adat ini masih diamalkan di sesetengah
kampung di Sarawak.
Setelah itu, adat menyarung cincin
diadakan dan seterusnya tetamu yang hadir akan diberikan air pengantin yang
berupa tuak @ arak dan sebagai tetamu tidak boleh menolak pemberian air
tersebut kerana akan dianggap seperti kurang ajar. Tetapi pemberian itu juga
diberikan kepada tetamu dengan cara yang baik dan jika beragama Islam tidak
akan diberikan air tersebut. Begitu juga dengan budak kecil dan ibu mengandung.
Meminum air tersebut dianggap sebagai penghormatan kepada pasangan pengantin.
Dan seperti majlis-majlis biasa dimana akan ada majlis makan dan juga tarian.
Majlis perkahwinan bagi kaum Iban
Semasa proses berkahwin akan diadakan
Uwai iaitu satu proses untuk memilih siapa antara suami dan isteri yang perlu
hidup dengan keluarga yang diuwai. Sebagai contoh, jika suami yang menguwai si
isteri bermakna suami perlu hidup bersama keluarga si isteri dan menentukan si
suami adalah milik keluarga si isteri dan apabila suami meninggal, upacara
pengkebumian akan diadakan disebelah keluarga isteri tetapi suami boleh sahaja
pulang menjenguk keluarga sendiri dan begitulah pula sebaliknya bagi isteri
yang menguwai suami kerana ini sebagai kepastian siapa yang akan menguruskan
mayat si isteri @ suami apabila meninggal nanti. Bagi agama Vivian iaitu Roman
Katolik, memang diwajibkan bagi suami untuk menguwai isteri kerana dalam Bible
mereka mengatakan lelaki perlu tinggalkan keluarga untuk memenuhi kehidupan
isteri.
Setelah selesai majlis perkahwinan,
pada keesokan paginya, pengantin perempuan perlu pulang ke rumah keluarga suami
dan perlu tinggal selama 3 hari 3 malam sebagai tanda menghormati ibubapa suami
kerana telah membesarkan anak mereka (suami) sebaik mungkin dan selepas 3 hari
tersebut, barulah pengantin perempuan boleh pulang ke rumah keluarga sendiri.
Seterusnya berkaitan adat semasa
kematian, upacara untuk si mati akan diadakan selama 3 hari 2 malam kerana
keluarga si mati akan menunggu saudara-mara yang jauh untuk pulang melawat si
mati. Pada malam kedua, semua orang di rumah panjang akan datang bagi melawat
dan meratapi si mati dan wajib memberi sedikit bantuan kepada keluarga si mati
dari segi bantuan duit. Bagi adab Iban,
pada subuh hari ketiga barulah mayat akan dihantar ke tanah perkuburan dan
mayat akan ditanam. Proses menguruskan kubur si mati akan dilakukan oleh pihak
lelaki dan selepas beberapa tahun, akan diadakan adat menghormati si mati.
Keluarga si mati akan melakukan satu upacara yang dipanggil Gawai Hantu dimana
mereka akan mencantikkan lagi kubur si mati dengan cara menyimen atau letakkan
mozek dan selepas daripada Gawai Hantu tersebut merupakan simbolik bahawa
mereka tiada kaitan lagi dengan roh si mati dan roh tersebut tidak akan datang
atau menganggu dalam mimpi keluarga
mereka lagi.
Bagi proses berkabung pula dalam masa
seminggu atau 2 minggu si mati meninggal, masyarakat di rumah panjang tersebut
tidak boleh menyanyi, dengar lagu atau menonton tv atau membuat bising bagi
menghormati keluarga si mati.
Bagi masyarakat Iban masih lagi ada
yang tiada agama (ateis), penganut kristian, hindu atau budha kerana apabila
wanita dalam sesebuah keluarga berkahwin dengan lelaki yang ada agama
terutamanya agama Islam, mereka perlu mengikut agama suami dan perlu tukar
agama tetapi tidak melibatkan keluarga wanita tersebut dan keluarga wanita
masih bebas untuk anuti apa-apa agama kecuali anak perempuan mereka yang telah
berkahwin. Tetapi ada juga sesetengah wanita yang berkahwin dengan lelaki
berbangsa Cina atau India dan terpulang pula kepada si suami untuk tukar agama
jika ingin mengikut agama si isteri.
Bagi soalan berikutnya, kami bertanya
mengenai nilai kekeluargaan kepada Vivian dan dia mengatakan bahawa didikan dia
di rumah oleh ibu dan ayahnya adalah sama seperti setiap bangsa yang semua ibu
bapa akan mengajar anak-anak supaya melakukan kebaikan dan menjauhi kejahatan.
Bagi aspek perkahwinan pula, keluarga Vivian tidak ada sebarang masalah jika
mengamalkan amalgasi iaitu perkahwinan campur dengan bangsa lain.
Menurut Vivian sebagai penganut
Kristian Roman Katolik, terdapat 10 prinsip yang perlu diikut dan diamalkan
oleh penganutnya iaitu:
1) Tidak boleh ada Tuhan lain selain
Jesus.
2) Tidak boleh menggambarkan Jesus dengan
gambaran lain.
3) Tidak boleh menggunakan nama Tuhan
untuk
4) Sembahyang pada hari minggu (hari
Sabbath).
5) Menghormati ibubapa.
6) Tidak boleh membunuh orang.
7) Tidak boleh berzina.
8) Tidak boleh mencuri.
9) Tidak boleh menjadi saksi untuk menipu
orang lain.
10) Tidak
boleh murtad.
Diceritakan lagi Vivian sebelum ini
merupakan seorang ateis iaitu tiada agama dan setelah Tingkatan 4 barulah dia
bertukar agama kepada Kristian Arsi kerana mengikut keturunan asal keluarga
Vivian. Dia perlu melalui banyak proses dan antaranya proses pembaptisan
sebelum diterima menjadi Kristian dan dia perlu pergi ke Sunday School iaitu
seperti kuliah di gereja untuk mempelajari agama Kristian dan baru-baru ini dia
baru sahaja diterima sebagai seorang Kristian mengikut Rights of Acceptance iaitu
ritual penerimaan di gereja. Vivian juga menukar agama dengan rela hati dan
percaya bahawa hidup akan tenang dengan memilih agama Kristian dan akan dapat
hidup kekal seperti yang dijanjikan oleh Tuhan Jesus.
Akhir sekali, Vivian menyatakan
persepsinya terhadap agama Islam adalah seperti agama lain juga iaitu
mewajibkan setiap umatnya untuk memiliki keperibadian yang mulia dan
menghormati agama-agama lain.
Diakhir pertemuan, kami mengucapkan
ribuan terima kasih kepada Vivian kerana sudi
meluangkan masa bersama kami dan memberikan segala maklumat dengan jelas
kepada kami. JJJ
Sesi temuramah bersama Vivian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan